Alumni Penulis Dari Rumah

Wednesday 25 March 2015

SIHAT vs KAYA

Salam ceria.

    Manakah yang anda akan pilih jika ditawarkan antara sihat dan kaya? Kedua-duanya sama penting bukan?

   Kesihatan adalah anugerah yang sangat berharga dalam kehidupan. Dengan sihatnya tubuh badan, diseimbangi dengan kesihatan mental dan spiritual dapat menjana kekayaan dalam erti kata sebenar. Jika kita tidak sihat, mana mungkin kita dapat keluar pergi bekerja mencari nafkah untuk menampung keperluan hidup.

   Tidak dinafikan, kekayaan itu juga penting dalam kehidupan. Tetapi, apa gunanya kaya jika sakit? Wang yang ada digunakan untuk mendapatkan rawatan terbaik. Sudah pasti rawatan terbaik memerlukan kos yang tinggi. Bagi mereka yang berkemampuan, mungkin tiada masakah, tetapi bagi mereka yang tidak mampu pula, bagaimana?

   Justeru itu, jagalah kesihatan diri kita supaya kita dapat menikmati dan mengecapi kekayaan. Sentiasalah bersyukur dengan anugerah sihat yang dikurniakan Allah sebagai pemacu kekayaan kita. Gunakanlah ia sebaik-baiknya untuk kita mendekatkan diri kita kepadaNya.

Wassalam.

Monday 23 March 2015

Salam Ukhuwah.

Salam perkenalan buat semua.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah atas nikmatNya, dipertemukan kita di sini. Blog di alam maya ini menjadi medium perantara kita berbicara.

Nama saya ILYANA BT. MAHFOT, dilahirkan di Batu Pahat, Johor. Saya merupakan anak ketiga dari lima beradik (4 perempuan & 1 lelaki).

Saya telah mendapat pendidikan awal, rendah dan menengah di daerah Batu Pahat sebelum melanjutkan pelajaran ke Asasi Sains, Universiti Malaya pada tahun 1996-98. Seusai Asasi, meneruskan pengajian di tempat yang sama sehingga berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda Farmasi pada tahun 2002. Tamat pengajian, pulang menabur jasa dan bakti di daerah kelahiran sehingga kini.

Pada tahun 2003, saya telah dipertemukan jodoh dengan suami tersayang dan sehingga kini kami telah dikurniakan dengan 5 orang cahayamata (4 lelaki & 1 perempuan). Cabaran membesarkan anak-anak tanpa adanya pembantu rumah memang begitu menduga kesabaran! Mujur suami turut ringan tangan membantu. Alangkah bahagianya andai dapat bersama anak-anak setiap detik dan saat. Namun apakan daya, diri ini juga ada tanggungjawab lain di luar sana, tanggungjawab kepada masyarakat.

Semakin tinggi pangkat, semakin besar tanggungjawab yang perlu digalas. Kadangkala akibat kesibukan bekerja, anak-anak terabai, lebih-lebih lagi apabila terlalu penat. Ketika itulah, naluri ingin menjadi surirumah sepenuh masa begitu menebal. Tetapi ianya tidak semudah ABC. Banyak perkara yang perlu dipelajari, digali dan dipersiapkan bagi melengkapkan diri sebelum mengambil keputusan sedemikian.

Saya berharap melalui wadah ini, dapatlah saya menimba ilmu dan berkongsi pengalaman dengan sahabat-sahabat lain di luar sana yang turut mempunyai cita-cita seperti saya mahupun yang telah berjaya mencapai impian sebagai surirumah sepenuh masa.

"Wang yang ada, kalau disimpan lama-lama menyusut juga"

"Masa yang ada, kalau tidak dimanfaatkan sebaiknya, takkan cukup"

"Ilmu yang ada, kalau dikongsi bersama, semakin lama semakin bertambah"

Salam ceria, salam ukhuwah.

Wassalam.